8 Tips Mudah Penjagaan Cermin Mata

Siapa di sini yang rajin singgah ke kedai cermin mata untuk cuci cermin mata? Bagus! Itu salah satu tindakan yang baik untuk memastikan cermin mata kita dalam keadaan baik dan bersih. Tapi tahukah anda, penjagaan cermin mata bermula dari anda sendiri. Contohnya, anda pergi ke kedai untuk servis cuci cermin mata dalam keadaan cermin mata anda sudah berlumut, berkarat, kanta bercalar atau kaki bingkai yang sudah longgar? Kedai hanya dapat membantu membersihkan kotoran pada kanta dan membaiki bingkai seboleh mungkin.

Jom saya kongsikan 8 tips mudah penjagaan cermin mata untuk individu berkaca mata amalkan bagi memastikan keadaan cermin mata sentiasa tiptop!

1. Bilas sebelum lap

Kebiasaannya, kita akan terus mengelap cermin mata kita sekiranya terdapat kotoran pada kanta. Tetapi tahukah anda, dengan cara tersebut, habuk dan kotoran kecil akan mendap pada permukaan kanta. Jadi nak buat macam mana? Haaa, bilas! 

Sebelum lap kanta, biasakan dengan membilas terlebih dahulu kanta tersebut dengan air bersih, kemudian lap sehingga kering dan bersih. Sebolehnya, elakkan daripada membiarkan titisan air kering pada permukaan kanta kerana ia boleh menyebabkan kesan air pada kanta.

2. Gunakan semburan atau pembersih khusus

Penggunaan semburan pencuci khusus untuk kanta dapat memelihara coating kanta daripada rosak. Harus diingat, tolong elak dari menggunakan pembersih yang mengandungi bahan seperti ammonia kerana ia boleh merosakkan coating kanta.

Cara penggunaan pembersih yang salah juga berpotensi merosakkan coating kanta. Cara yang betul adalah dengan menyembur pembersih pada kain, dan lap. Bukan sembur secara terus pada kanta.

Pakai sabun pencuci pinggan pun boleh tau! Sediakan mangkuk berisi air bersih bersuhu bilik, masukkan 2-3 titis pencuci pinggan dan kacau. Kemudian, rendam cermin mata anda dalam 3-5 minit. Lepas tu, lap sehingga kering! Lap tau, bukan sental.

3. Jenis kain yang betul

Mesti selalu nampak orang lap cermin mata pakai baju kan? Tudung la, tisu la, stoking la ehhh ada ke pakai stoking? Bau kaki, hahaha!

Sebenarnya gentian dalam fabrik dan material tisu adalah kasar dan ia akan mengakibatkan kanta anda bercalar. Tambahan pula, sisa kotoran yang ada pada pakaian akan dipindahkan ke kanta. Akhirnya, bersih pun tak seberapa, dapat pula calar.

4. Simpan di dalam bekas

Kepada anda yang memiliki lebih dari satu pasang cermin mata atau yang jenis pakai on-off seperti cermin mata baca, anda akan simpan cermin mata di mana? Selalu konsepnya di mana punggung berlabuh di situlah cermin mata tu. Merata!

Sebaiknya ketika cermin mata tidak dipakai, simpanlah di dalam bekas bagi mengelakkan habuk dan kotoran daripada melekat pada permukaan kanta.

5. Letak dengan berhati-hati

Buat geng yang konsepnya di mana punggung berlabuh di situlah cermin mata tadi tu, jika tiada bekas bersama, sekurang-kurangnya pastikan kanta sentiasa menghadap ke atas agar kanta tidak bersentuhan dengan sebarang permukaan yang boleh mengakibatkan calar.

6. Kerap mencuci dan mengelap kanta

Manusia pun mandi paling kurang sehari sekali kan? Inikan pula cermin mata yang sentiasa berpanas berpeluh bersama, mengharungi siang malam bersama. Kita busuk, dia pun kotor.

Jadikan aktiviti mencuci cermin mata sebagai rutin harian anda. Paling kurang sekali sehari untuk memastikan kanta dalam keadaan optimum. Lebih bersih kanta, semakin kurang mata kita perlu bekerja untuk fokus melihat melalui kotoran pada kanta.

7. Elak meletakkan cermin mata di atas kepala

Mesti ramai yang suka parking cermin mata atas kepala kan? Lepas tu cari tak jumpa! Perbuatan ini merupakan salah satu faktor yang merosakkan bingkai.

Ini kerana bahagian atas kepala biasanya lebih lebar daripada muka dan tabiat ini akan meluaskan bukaan kaki bingkai dan lama-kelamaan bingkai menjadi longgar dan senget. Kalau nasib tak baik, kaki bingkai boleh patah! Pergi kedai cari kaki baru memang tak ada la. Terpaksa ganti bingkai baru.

8. Guna kedua-dua tangan

Cara memakai dan menanggalkan cermin mata pun perlu betul tau! Jangan pakai sebelah tangan sahaja. Sebelah kaki bingkai akan menerima tekanan berbeza dan menjadikan ia senget dan keluar dari keselariannya.

Pastikan setiap kali ingin memakai dan menanggalkan cermin mata, gunalah kedua-dua belah tangan anda. Dengan ini, kita dapat mengekalkan keselarian bingkai dan meminimumkan perubahan pada fitting bingkai tersebut. Tak la cepat rosak bingkai tu!

Inilah 8 tips mudah penjagaan cermin mata yang perlu anda amalkan untuk memastikan cermin mata sentiasa dalam keadaan optimum dan panjang hayatnya. Untung tau kalau amalkan tips-tips ini. Bukan sahaja penglihatan jelas tanpa gangguan, poket pun selamat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *