7 PUNCA FOTOFOBIA

APA ITU FOTOFOBIA?

Fotofobia atau silau merupakan satu gejala di mana mata menjadi sensitif yang melampau terhadap cahaya. Individu yang mengalami gejala ini akan cuba mengelak dari cahaya matahari atau tempat terang. Matahari atau cahaya yang terang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menyakitkan mata. Masalah fotofobia mungkin disebabkan oleh masalah yang berkaitan dengan keadaan mata atau sistem urat saraf. Terdapat 7 punca fotofobia boleh berlaku kepada anda sekiranya mengambil ringan isu penjagaan mata anda.

7 PUNCA FOTOFOBIA

Fotofobia dikaitkan dengan hubungan antara sel pada mata yang mengesan cahaya dan saraf yang menghantar maklumat kepada otak untuk diproses. Migrain merupakan penyebab utama kepada simptom sensitif kepada cahaya. Sehingga 80% orang yang menghidapinya mengalami fotofobia dan sakit kepala. Namun, ada juga individu yang walaupun sensitif terhadap cahaya, tetapi tidak mengalami sakit kepala.

1. Mata kering

Mata kering adalah antara punca berlakunya fotofobia atau silau terhadap cahaya. Simptom yang biasa dialami oleh individu yang mempunyai mata kering ialah iritasi, keletihan mata, kemerahan dan kekeringan mata. 

2. Katarak

Katarak ialah suatu keadaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ia meningkatkan sensitiviti individu terhadap cahaya. Cahaya yang terang boleh menyakitkan mata, terutama bagi individu yang mempunyai katarak subkapsular posterior. Katarak jenis ini bermula di bahagian belakang kanta mata yang menghalang laluan cahaya dan sering mengganggu penglihatan pada jarak dekat seperti membaca. Kanta yang tidak jernih boleh mengakibatkan cahaya berserakan dan tidak menumpu apabila memasuki mata seperti gambar di bawah.

3. Keratitis

Keratitis ialah pembengkakan dan keradangan kornea, iaitu lapisan jernih yang menutupi bahagian mata yang berwarna. Keratitis merupakan salah satu daripada masalah mata yang akan membuat individu mengalami simptom seperti fotofobia kerana melibatkan keradangan pada kornea.

Tanpa rawatan segera, kerosakan kekal akan terjadi pada kornea, yang akan menyebabkan individu mengalami silau atau fotofobia. Keratitis boleh terjadi disebabkan kecederaan pada kornea, pemakaian kanta lekap yang tercemar, jangkitan virus atau bakteria pada kornea.

4. Pembedahan mata

Semasa prosedur LASIK, tisu kornea diubah dan menyebabkan perubahan kekal pada bentuk kornea, di mana boleh menyebabkan individu mengalami simptom silau pada cahaya semasa proses penyembuhan selepas pembedahan LASIK. Rasa silau akan mula berkurangan selepas tisu kornea sembuh sepenuhnya.

Selepas pembedahan katarak, individu akan mengalami fotofobia dan mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan mata yang baru. Kanta baru yang dimasukkan ke dalam mata tidak menghalang cahaya seperti kanta keruh yang mengalami katarak sebelum pembedahan. Penyesuaian ini mengambil masa selama beberapa minggu.

5. Anak mata bersaiz besar

Anak mata berfungsi untuk mengawal jumlah cahaya yang memasuki mata. Individu yang mempunyai anak mata yang sedikit besar dari normal akan mengalami simptom silau. Ini bermaksud sekiranya anak mata besar, cahaya akan lebih banyak masuk ke dalam mata dan menyebabkan fotofobia.

6. Konjungtivitis

Konjungtivitis adalah kemerahan dan keradangan membran yang menutupi mata putih dan membran pada bahagian dalam kelopak mata. Ia terjadi disebabkan oleh virus atau jangkitan bakteria dan alergi. Konjungtivitis boleh meningkatkan tahap sensitiviti individu kepada cahaya dan menyebabkan rasa silau.

7. Pterygium

Selaput yang kelihatan seperti lebihan daging merah jambu yang berada di luar mata, menempel pada mata putih dan perlahan-lahan menginjak ke mata hitam (kornea). Pterygium boleh meningkatkan tahap sensitiviti mata terhadap cahaya matahari, lebih-lebih lagi apabila ia sudah menginjak ke arah kornea dan menganggu bentuk kornea yang menyebabkan berlakunya peningkatan astigmatisma (rabun silau) individu.

Dinasihatkan kepada anda untuk tidak sama sekali mengambil mudah atau ringan isu penjagaan mata kerana 7 punca fotofobia ini boleh mengundang masalah mata yang kronik. Seperti yang anda sedar, mata dan penglihatan amat penting dalam menjalani kehidupan seharian dengan baik. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *