6 Tips Penggunaan Gajet Yang Mesra Mata

In Malaysia, for example, a study conducted by the by National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) indicated 61.4% of workers who used computers in their workplace suffered from lower back pain, shoulder and neck pain, while 70.6% of them complain of eyestrain. — Loh, K., & Redd, S. (2008). Understanding and preventing computer vision syndrome. Malaysian family physician : the official journal of the Academy of Family Physicians of Malaysia, 3(3), 128–130.
Berikut merupakan petikan jurnal daripada kajian yang dijalankan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Kebangsaan atau dikenali sebagai NIOSH yang menunjukkan sebanyak 61.4% pekerja di Malaysia yang menggunakan komputer di tempat kerja mengalami sakit belakang, sakit bahu dan leher manakala 70.6% daripada mereka mengadu sakit di bahagian mata. Buat individu yang sentiasa berhadapan dengan skrin dalam tempoh yang lama, kesakitan yang dialami itu berpotensi merupakan simptom-simptom kepada Sindrom Penglihatan Komputer.

Ketika melihat skrin, mata kita akan bergerak dari satu titik ke titik yang lain dan mata akan memberi fokus pada skrin dalam tempoh waktu yang lama. Aktiviti ini memerlukan otot mata untuk bekerja dengan lebih banyak dan lama-kelamaan boleh berlaku ketegangan di sekeliling mata.
Samalah macam kita bila bekerja seharian mesti rasa penat kan? Begitu jugalah dengan mata. Sebab tu mata rasa penat dan pedih tu! Oh, yaaa. Silau cahaya daripada skrin pun boleh menyebabkan mata cepat letih.
Jadi, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menggunakan gajet dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan mata? Jom kami kongsikan 6 tips penggunaan gajet yang mesra mata!
1. Pencahayaan yang Betul
Biasanya, ketegangan mata berlaku disebabkan oleh cahaya persekitaran yang terlalu terang sama ada daripada cahaya matahari ataupun pencahayaan dalaman.

Bagi mengawal kemasukan cahaya berlebihan ke dalam ruangan, pasanglah langsir atau bidai mengikut citarasa anda. Pelbagai jenis material langsir dan bidai yang terdapat di pasaran. Pastikan survey dulu ya!
Sekiranya punca cahaya berlebihan itu datang dari ruangan itu sendiri, lihat kembali jenis lampu yang dipasang. Jika lampu mentol, nyalakan sekadarnya. Jangan nyalakan semua! Ini kerana cahaya dari lampu mentol sangat terang. Untuk pencahayaan yang lebih selesa, gunalah lampu pendaflor yang berintensiti rendah.
Posisi skrin pun penting tau! Pastikan kedudukan skrin anda tidak menghadap atau membelakangkan tingkap. Ini kerana cahaya dari tingkap akan mengganggu penglihatan anda pada skrin. Seeloknya, posisikan skrin anda di sisi tingkap. Mata pun tak silau dek teriknya matahari.
2. Berkedip dengan Kerap
Tanpa sedar, mata kita berkedip kira-kira 15000 kali dalam sehari. Wow! Kenapa mata kita dengan sendirinya berkedip? Haaa, antara sebab utama berkedip ini adalah untuk membantu melembapkan mata bagi mengelakkan ia dari kering dan berlaku kerengsaan.

Tahukah anda, apabila menghadap skrin, kita akan cenderung untuk kurang berkedip. Apabila ini terjadi, air mata yang melapisi mata akan tersejat dengan lebih cepat semasa fasa tidak berkedip. Keadaan inilah yang menjadikan mata kita kering.
Jadi, apa perlu kita buat?
Bagi mengurangkan risiko mata kering, cuba untuk berkedip 10 kali pada setiap 20 minit anda menghadap skrin. Tetapkanlah penggera pada telefon pintar anda. Senang kan? Jadikanlah ia sebagai rutin ketika anda menghadap skrin. Sedikit sebanyak dengan cara ini dapat membantu melembapkan mata anda.
3. Senaman Mata
Ingat badan saja boleh bersenam? Mata pun boleh tau! Tapi tidaklah jadi berketak-ketak ototnya. Dengan melakukan senaman mata, kita dapat mengurangkan risiko berlakunya ketegangan mata.

Senaman mata tidak memerlukan kos tambahan untuk membeli sebarang alatan. Anda hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk melakukan senaman mata yang dikenali sebagai Peraturan 20-20-20. Macam mana tu?
Kacang saja! Pastikan setiap 20 minit anda menghadap skrin, ubah pandangan anda dengan melihat objek yang jauh sekurang-kurangnya 20 kaki selama 20 saat. Kemudian, sambunglah semula aktiviti skrin anda. Ulang senaman setiap 20 minit tau.
4. Cermin Mata Komputer & Gajet
Bagi mereka yang kerap berhadapan dengan skrin, anda dinasihatkan untuk mendapatkan preskripsi cermin mata dari Optometris. Ini membantu mata anda memperoleh keselesaan yang terbaik.

Berminat? Cadangan kami, ada dua jenis kanta yang sesuai buat anda yang sentiasa dengan skrin iaitu;
- Kanta Anti-Fatigue: membantu mengurangkan ketegangan mata sepanjang penggunaan komputer dan gajet.
- Kanta Anti-Blue Light: membantu mengurangkan pendedahan pancaran cahaya biru oleh peranti kepada mata.
Berjumpalah dengan Optometris untuk melakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu dan dapatkan khidmat nasihat berkenaan kanta yang bersesuaian mengikut keperluan mata anda.
5. Kurangkan Silau
Perasan tak apabila kita menghadap skrin dalam tempoh yang lama, mata akan berasa pedih, penat dan tidak selesa? Haaa… Inilah yang dipanggil sebagai ketegangan mata. Ketegangan mata berpunca daripada aktiviti yang melibatkan fokus mata secara intensif semasa melakukan tugasan termasuklah memandu, membaca, menulis dan menjahit.

Sekiranya tempoh penggunaan komputer atau gajet tidak dapat dikurangkan, gunalah pelindung skrin anti cahaya biru atau matte anti silau pada peranti anda. Dengan cara ini, ia dapat membantu mengurangkan silau dan menapis cahaya dari memasuki mata secara terus dan sepenuhnya.
Dalam pada masa yang sama, pastikan jarak anda dan peranti adalah betul, pencahayaan persekitaran yang mencukupi dan mengubah tetapan tahap kecerahan skrin agar tidak terlalu terang.
Selain itu, kepada anda yang sentiasa berhadapan dengan skrin, amat disarankan untuk memiliki sepasang cermin mata yang mempunyai coating anti reflective (AR coating) atau kanta blue filter yang memelihara mata kita dari cahaya keterlaluan.
6. Gunakan Air Mata Tiruan
Tanpa kita sedar, mata akan kurang berkedip ketika penggunaan peranti digital. Oleh itu, penggunaan dalam tempoh yang panjang boleh menjadikan mata kering dan cepat letih disebabkan oleh air mata yang tersejat dengan cepat.

Oleh itu, air mata tiruan berperanan melembapkan semula dan memberi kesegaran kepada mata selepas penggunaan peranti digital dalam tempoh yang lama. Disamping penggunaan air mata tiruan, bawak-bawaklah rehatkan mata juga ya!
Kedip mata lebih sikit semasa rehat tu, okey?
Diharapkan dengan perkongsian 6 tips penggunaan gajet yang mesra mata ini dapat membantu anda mencapai tahap selesa ketika berhadapan dengan skrin terutama buat mereka yang sentiasa menghadap skrin dalam tempoh yang panjang. Bukan hanya selesa yang kita mahu, tetapi juga kesihatan mata yang optimum. Selamat mencuba dan semoga membantu! Dannnn… lakukan pemeriksaan mata secara berkala dengan Optometris tau!