6 Tips Mudah Memiliki Kesihatan Mata yang Tiptop!

Antara anugerah Tuhan yang tak ternilai harganya pada kita adalah sepasang mata yang sihat. Sebagai tanda syukur dengan anugerah ini, telah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara ia sebaiknya dengan menitikberatkan kesihatan mata dan keseluruhan fungsi penglihatan. Selain deria pendengaran, rasa, sentuh dan bau, deria penglihatan merupakan antara deria terpenting bagi setiap makhluk termasuklah kita, manusia. Cuba bayangkan kita menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan. Agaknya apa yang kita rasa?
Terdapat banyak tips mudah penjagaan kesihatan mata yang boleh kita amalkan dalam memastikan kesihatan mata sentiasa berada di tahap optimum. Tetapi untuk perkongsian kali ini, kami akan kongsikan 6 tips sahaja dulu! Tak boleh banyak-banyak, nanti tak terbuat. Hihihi!
#1 Pemeriksaan Mata Komprehensif

Seperti masalah kesihatan yang lain misalnya masalah jantung, paru-paru mahupun kesihatan mental, mata juga turut berisiko untuk mengalami masalah yang serius seperti katarak, glaukoma, retinopati diabetik dan pelbagai lagi masalah mata lain yang jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kebutaan.
Oleh itu, bagi memastikan penglihatan kekal sihat, pemeriksaan mata secara komprehensif perlu dilakukan setiap tahun. Majoriti masyarakat tidak menyedari bahawa mereka boleh melihat lebih baik dengan cermin mata. Tanpa pemeriksaan mata, ramai individu telah mengalami penyakit mata yang serius tanpa mereka sedar kerana tidak mengalami gejala yang ketara.
Seawal usia 3-6 bulan, pemeriksaan mata secara komprehensif ke atas bayi boleh dijalankan bagi memastikan perkembangan mata dan penglihatan bayi berada di tahap yang baik. Selain itu, pemeriksaan awal ini berupaya mengenalpasti dan mencegah sebarang masalah mata di peringkat awal.
#2 Ketahui Sejarah Keluarga

Sesetengah orang beranggapan masalah mata yang berlaku disebabkan faktor luaran sahaja seperti pengunaan peranti digital dalam tempoh yang panjang, menonton TV terlalu dekat dan sebagainya. Tetapi, tahukah anda masalah mata berpotensi besar untuk terjadi disebabkan oleh faktor genetik?
Genetik memainkan peranan utama dalam kebanyakan kes penyakit mata termasuklah menjadi punca utama berlakunya kebutaan pada bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.
Antara masalah mata yang berlaku berpunca daripada faktor genetik adalah:
- Astigmatisme
- Katarak
- Buta warna
- Mata kering
- Miopia (Rabun jauh)
- Hiperopia (Rabun dekat)
- Glaukoma
- Ambliopia (Mata malas)
Oleh itu, jika ada dikalangan ahli keluarga anda mempunyai masalah mata seperti di atas, anda berisiko dua kali ganda untuk mengalami masalah yang sama. Janganlah anda khuatir! Sejarah keluarga tidak dapat diubah tetapi langkah awal boleh diambil. Lakukan pemeriksaan mata secara berkala dan dapatkan konsultansi daripada optometris berdaftar.
#3 Ketahui Risiko Diri

Berbeza tahap kesihatan mata bagi individu yang sihat dengan individu yang menghidapi Diabetes Melitus atau penyakit kencing manis. Diabetik Retinopati ialah kerosakan pada retina yang disebabkan oleh komplikasi penyakit kencing manis.
Sekiranya anda adalah penghidap kencing manis atau mempunyai sejarah keluarga yang mengalami penyakit mata, berjumpalah dengan doktor mata setiap 6 bulan atau setahun sekali. Ini adalah kerana risiko untuk anda berhadapan dengan masalah mata adalah lebih tinggi.
#4 Penggunaan Cermin Mata Hitam

Cermin mata anti ultraviolet (UV) atau cermin mata hitam yang berkualiti berupaya memberi perlindungan pada mata dengan menghalang silau dan menyerap sinaran UV yang merbahaya dengan baik dari menembusi mata.
Pendedahan mata terhadap sinaran UV secara berlebihan berpotensi menyebabkan kerosakan kornea, kanta mata, lapisan retina mata dan katarak dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, gunalah cermin mata hitam ketika melakukan aktiviti luar.
“Saya guna cermin mata hitam pasar malam saja, murah!”
Sebaiknya anda elaklah daripada membeli cermin mata gelap yang murah di pasar-pasar malam, pasaraya atau seumpamanya kerana kebanyakannya tidak berupaya untuk menapis sinaran UV dan tidak menepati spesifikasi standard ujian makmal. Pendek kata, cermin mata hitam murah tidak membantu melindungi mata anda dari sinaran UV dan hanya membazir. Kalau kita boleh berbelanja lebih untuk makanan mahal, apalah salahnya keluarkan wang lebih sedikit untuk kesihatan mata juga. Beli sekali, bertahun boleh pakai.
#5 Pemakaian Cermin Mata

Segelintir masyarakat menafikan yang mereka memerlukan bantuan penglihatan untuk melihat dengan baik walaupun telah dipreskripsikan dengan power rabun. Kenapa? Adakah kerana tidak suka dengan penampilan berkaca mata, diejek rakan-rakan atau percaya dengan mitos yang mengatakan pemakaian cermin mata merosakan mata?
Cermin mata hanyalah alat bantuan penglihatan yang mampu membantu otak untuk mendapatkan visual yang lebih jelas tanpa merosakkan atau melemahkan sebarang fungsi mata. Mata yang mempunyai preskripsi power rabun dan tidak dibantu oleh cermin mata akan menjadi cepat penat kerana mata akan bekerja keras dalam tempoh yang panjang untuk memberi penglihatan yang jelas. Oleh itu, pemakaian cermin mata dapat merehatkan mata dan berasa selesa.
#6 Merokok

Pastinya kita semua tahu bahawa merokok tidak membawa sebarang kebaikan malah mendatangkan banyak keburukan ke atas tubuh badan kita dalam jangka masa pendek mahupun panjang.
Bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok akan merosakkan beberapa organ dalam tubuh badan kita termasuklah mata. Perokok akan berisiko untuk mengalami mata berair dan radang mata yang boleh mengganggu daya penglihatan.
Buat anda yang berniat untuk mula merokok, lupakan jelah niat tu!
Itulah dia enam tips mudah untuk memiliki kesihatan mata yang tiptop! Ketahuilah sejarah kesihatan keluarga anda dan amalkan tips-tips yang telah kami kongsikan. Mulakan sekarang sebelum terlambat. Sayang mata kan?