4 Rawatan Mata Kering

APA ITU MATA KERING?

Mata kering adalah keadaan biasa yang berlaku apabila berlaku kekurangan air mata untuk melembapkan mata. Air mata adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mata dan memberi penglihatan yang jelas. Penghasilan air mata boleh menjadi tidak cukup dan tidak stabil kerana pelbagai faktor.

Contohnya, mata kering mungkin berlaku jika mata tidak mengeluarkan air mata yang mencukupi atau mata mengeluarkan air mata yang tidak berkualiti. Ketidakstabilan air mata ini boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan pada permukaan mata. Jadi, apakah rawatan kepada masalah ini? Ini 4 rawatan mata kering yang perlu anda ketahui bagi mengatasi masalah mata kering.

FUNGSI AIR MATA

  • Membersihkan habuk dengan melicinkan permukaan kornea
  • Melembapkan kornea dan konjunktiva
  • Membekalkan oksigen dan nutrien kepada kornea
  • Mengandungi enzim dan antibodi sebagai sistem imun

BAGAIMANA AIR MATA TERHASIL?

Kelenjar air mata (kelenjar lakrimal) yang terletak pada setiap bola mata berfungsi membekalkan cecair air mata secara berterusan yang disebarkan di seluruh permukaan mata setiap kali mata berkelip. Cecair air mata yang berlebihan akan mengalir masuk ke longkang air mata dan kantung air mata, seterusnya mengalirkan air mata ke saluran air mata ke hidung.

LAPISAN AIR MATA

  • LAPISAN LIPID (Minyak): Berfungsi untuk menghalang lapisan aques atau lapisan air daripada tersejat ke udara.
  • LAPISAN AKUES (Air): Membentuk sebahagian besar komponen air mata bagi membekalkan oksigen dan nutrien kepada kornea.
  • LAPISAN MUSIN (Lendir): Berfungsi untuk penyebaran air mata yang sekata pada permukaan kornea.

Sekiranya air mata tersejat dengan cepat atau tidak tersebar dengan sekata pada permukaan kornea, ini disebabkan oleh kekurangan mana-mana lapisan air mata dan simptom-simptom mata kering boleh berlaku.

PUNCA MATA KERING

Mata kering disebabkan oleh pelbagai faktor yang mengganggu filem air mata yang sihat. Filem air mata mempunyai tiga lapisan, iaitu lapisan minyak (Lipid), cecair berair (Akues) dan lapisan lendir(Musin). Lapisan filem air mata ini biasanya menjadikan permukaan mata lembap. Jika terdapat masalah dengan lapisan-lapisan tersebut, seseorang boleh mengalami mata kering.

Faktor-faktor masalah filem air mata adalah,

  • Perubahan hormon
  • Penyakit autoimun
  • Kelenjar kelopak mata yang meradang
  • Masalah alergi mata
  • Kekurangan pengeluaran air mata atau peningkatan penyejatan air mata

Kurang pengeluaran air mata

Mata kering boleh berlaku apabila kelenjar air mata tidak dapat menghasilkan cecair air mata yang mencukupi. Istilah perubatan untuk keadaan ini adalah keratoconjunctivitis sicca.

Faktor kurang pengeluaran air mata,

  • Penuaan.
  • Keadaan tertentu seperti sindrom Sjogren, masalah alergi mata, Atritis Reumatoid (keradangan sendi), gangguan tiroid atau kekurangan vitamin A.
  • Ubat-ubatan tertentu, termasuk Antihistamin, Dekongestan, Antidepresan, dan ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi, jerawat, kawalan kelahiran dan penyakit Parkinson.
  • Saraf kornea yang menjadi kurang sensitif disebabkan pemakaian kanta lekap atau kerosakan saraf yang disebabkan oleh pembedahan mata laser.

Peningkatan penyejatan air mata

Lapisan minyak yang dihasilkan oleh kelenjar kecil di pinggir kelopak mata (kelenjar meibom atau kelenjar air mata) tersumbat. Kelenjar air mata yang tersumbat lebih kerap terjadi kepada individu yang mengalami penyakit kulit.

Faktor peningkatan penyejatan air mata,

  • Kelenjar air mata tidak berfungsi
  • Mata kurang berkelip, terutama semasa membaca, memandu atau bekerja dengan komputer
  • Masalah kelopak mata, seperti kelopak mata pada posisi ke arah luar mata (ectropion) dan kelopak mata pada posisi ke arah dalam mata (entropion)
  • Alahan mata
  • Pengawet dalam ubat titis mata topikal
  • Keadaan berangin, berasap atau berudara kering
  • Kurang vitamin A

SIMPTOM MATA KERING

  • Lendir bertali di dalam atau di sekitar mata anda
  • Sensitif kepada cahaya
  • Mata merah
  • Mata pedih
  • Rasa seperti ada sesuatu di dalam mata
  • Kesukaran dengan pemanduan pada waktu malam
  • Penglihatan kabur atau mata cepat letih
  • Mata berair, yang merupakan tindak balas terhadap kerengsaan mata kering
  • Kesukaran memakai kanta lekap

RAWATAN MATA KERING

Mata kering tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, tetapi terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan simptom mata kering.

1. Air mata tiruan

Penggunaan air mata tiruan atau ubat titis mata merupakan rawatan utama untuk mata kering. Kekerapan dalam menggunakan air mata tiruan amatlah disarankan kepada individu yang mempunyai mata kering yang kronik bagi memastikan mata sentiasa lembap dan selesa.

2. Penutupan Lubang air mata (punctum)

Rawatan menutup saluran yang mengalirkan air mata keluar dari mata untuk memastikan keadaan mata sentiasa lembap dan mempunyai cecair air mata yang mencukupi. Ini boleh dilakukan dengan memasukkan punctal plug sementara ke dalam saluran air mata yang terletak di kelopak mata bawah untuk menentukan sama ada plug kekal boleh membantu dalam merawat mata kering.

Langkah-langkah ini meningkatkan paras air mata dengan menyekat “drainpipe” di mana air mata biasanya keluar dari mata dan masuk ke dalam hidung.

3. Teknik tuam

Kaedah tuaman menggunakan tuala kecil yang direndam dalam air suam dan tekanan pada kelopak mata dilakukan untuk membuka saluran kelenjar yang tersumbat. Kelenjar ini menghasilkan lapisan minyak sebagai sebahagian daripada lapisan air mata. Lapisan minyak ini berfungsi menghalang lapisan cecair air mata daripada tersejat.

4. Ubat-ubatan lain dan pengambilan nutrisi yang seimbang

Ubat-ubatan lain, termasuk ubat titis mata steroid, boleh digunakan untuk jangka masa yang pendek sebagai tambahan kepada langkah jangka panjang yang lain. Terdapat bukti yang menyatakan pengambilan minyak ikan dan Omega-3 melalui diet atau makanan tambahan sangat membantu untuk masalah mata kering.

Jadi, mata kering bukan satu masalah kecil yang boleh dipandang remeh sama sekali. Kenalpasti segala bahan yang anda gunakan pada mata anda, sama ada ia baik atau boleh mengundang masalah di kemudian hari. Sekiranya anda mempunyai simptom mata kering, jangan berlengah untuk mendapatkan salah satu dari 4 rawatan mata kering yang telah dinyatakan di atas. Ingat, kesihatan mata sama pentingnya dengan kesihatan tubuh badan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *