4 MASALAH MATA UTAMA YANG LAZIM DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA

Tahukah anda kebanyakan mereka yang menghadapi masalah mata kurang mengetahui tentang permasalahan mata yang mereka alami terutamanya empat masalah mata utama yang lazim terjadi dalam masyarakat Malaysia.

Apakah 4 masalah mata yang sering dialami oleh masyarakat Malaysia ini? Berikut merupakan 4 Masalah Mata Utama Yang Lazim Dalam Kalangan Masyarakat Malaysia:

1. RABUN MATA (Miopia, Hiperopia, Astigmatisma, Presbiopia)

MIOPIA lebih dikenali dengan Rabun Jauh adalah permasalahan di mana individu yang mengalami masalah ini tidak dapat melihat objek jauh dengan terang atau jelas. Miopia perlu dibetulkan preskripsi cermin mata yang menggunakan kanta cengkung (minus power) atau pemakaian kanta lekap yang bersesuaian.

HIPEROPIA pula lebih dikenali dengan Rabun Dekat atau rabun terpendam. Individu yang mempunyai permasalahan ini seringkali dapat melihat pada jarak jauh namun menghadapi kesukaran bila banyak melakukan kerja-kerja jarak dekat seperti membaca dalam jangka masa panjang. Individu yang menghadapi masalah ini seringkali menghadapi masalah sakit kepala, mata berair dan mengantuk apabila melakukan kerja jarak dekat dalam jangka masa yang lama.

ASTIGMATISMA seringkali disebut sebagai Rabun Silau dalam kalangan masyarakat. Rabun Silau ini berlaku apabila permukaan kornea tidak sekata dan menyebabkan kejadian imej yang tidak jelas. Individu yang menghadapi masalah ini seringkali mengadu berasa silau ketika memandu pada waktu malam atau terik matahari.

PRESBIOPIA pula adalah Rabun Dekat yang terjadi dikalangan mereka yang lanjut usia. Individu yang berumur 40 tahun dan ke atas akan mengalami perubahan fisiologi yang menyebabkan daya akomodasi mereka kurang kerana kanta mata meraka sudah kurang fleksibel. Presbiopia adalah punca kemampuan melihat pada jarak dekat dan membaca berkurang.

2. KATARAK

Katarak adalah merupakan masalah mata yang lazim dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Katarak ini bukanlah suatu penyakit tetapi katarak ini adalah sebahagian proses penuaan di mana kanta di dalam mata menjadi keruh. Apabila kanta ini menjadi keruh, cahaya atau imej tidak dapat masuk ke dalam mata secara total. Berikutan kejadian ini, pesakit seringkali mengadu menghadapi kesukaran melihat objek jauh dan dekat serta menghadapi masalah silau yang terlampau. Katarak hanya dapat diatasi dengan pembedahan untuk menggantikan kanta di dalam mata dengan kanta gantian yang baru.

3. GLAUKOMA

Glaukoma merupakan salah satu penyakit mata yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Glaukoma merupakan keadaan di mana tekanan di dalam bola mata yang terlalu tinggi sehingga mengakibatkan kerosakan saraf mata. Glaukoma hanya dapat dikawal dengan preskripsi ubat daripada doktor. Adalah penting untuk setiap individu melakukan saringan bagi mengesan glaukoma pada tahap awal bagi mengelakkan pesakit daripada buta.

4. RETINOPATI DIABETIK

Tidak hairan mengapa antara 4 permasalahan mata utama di dalam Malaysia membabitkan Retinopati Diabetik. 17.5% orang dewasa berusia atas 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes. Retinopati Diabetik ini seringkali terjadi pada individu yang kurang mengawal tahap gula mereka. Hal ini terjadi kerana kurangnya kawalan gula akan menyebabkan perubahan pada saluran darah pada saraf mata sekaligus menyebabkan pendarahan serta menyebabkan penglihatan kurang baik atau tidak jelas. Adalah penting untuk setiap individu yang menghidap diabetik untuk melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Oleh itu, adalah penting untuk setiap individu dalam semua peringkat umur untuk menjaga penglihatan kita agar sentiasa sihat. 4 Permasalahan Mata Utama Yang Lazim Dalam Kalangan Masyarakat Malaysia ini dapat dibendung dan dapat dikesan sekiranya kita menjadikan pemeriksaan mata itu rutin tahunan bagi diri kita dan seisi keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *