4 KELEBIHAN KANTA POLIKARBONAT
Pada masa kini, memilih sepasang cermin mata lebih daripada sekadar gaya. Kita juga perlu mempertimbangkan jenis dan bahan kanta yang kita pilih. Kanta biasanya diperbuat daripada kaca, plastik, atau polikarbonat. Apabila keselamatan mata menjadi kebimbangan, kanta polikarbonat atau trivex biasanya adalah pilhan yang terbaik untuk cermin mata. Ini kerana ia sesuai untuk cermin mata sukan, kanak-kanak dan keselamatan. Jom kita lihat apa itu kanta polikarbonat dan 4 kelebihan kanta polikarbonat untuk cermin mata.
APA ITU KANTA POLIKARBONAT?
Kanta polikarbonat adalah kanta ultra tahan lama dan ultra ringan. Kanta ini mempunyai daya tahan 10 kali ganda lebih daripada kanta berjenis plastik atau kaca. Selain itu, kanta ini juga mempunyai lapisan tahan calar dan perlindungan digital yang baik. Ia lebih digemari daripada kanta plastik atau kaca oleh pemakai cermin mata, ahli sukan dan pengguna pelindung mata untuk keselamatan kerana sifatnya yang ringan, memberi perlindungan daripada cahaya ultra ungu (UV) dan sifat tahan lasak atau tahan impak.
4 KELEBIHAN KANTA POLIKARBONAT
1. Keselamatan
“The Vision Council” menyatakan bahawa kanta polikarbonat sebagai “hampir tidak dapat dipecahkan.”
Terdapat satu kajian yang diterbitkan dalam “Journal of the American Medical Association” juga mendapati bahawa kanta polikarbonat lebih berdaya tahan daripada kanta jenis kaca atau plastik. Dengan menggunakan lima jenis objek termasuk bola golf dan bola tenis, kajian itu mendapati bahawa kanta polikarbonat tidak pecah walaupun pada hentaman yang kuat.
Kanta ini sangat sesuai digunakan oleh kanak-kanak. Apabila terpijak atau tercampak cermin mata, kanta ini tidak akan mudah pecah. Selain itu, sekiranya kanak-kanak bermain di luar rumah dan terjatuh atau terkena hentaman bola pada bahagian muka, kanta polikarbonat tidak akan mudah pecah dan terkena pada bahagian mata mereka.
Sebagai langkah keselamatan, kanta ini juga sesuai dipakai oleh atlet. Mereka perlu memakai cermin mata yang direka khusus untuk melindungi mata semasa bersukan iaitu kanta dan bingkai yang tahan lasak kerana mereka berisiko terdedah kepada kecederaan mata, terutama dalam sukan yang melibatkan bola seperti bola sepak, tenis, badminton, bola tampar, bola baling dan sebagainya.
2. Berat dan ketebalan
Kanta polikarbonat lebih nipis daripada kanta jenis lain. Ini menjadikannya sesuai untuk orang yang mempunyai kuasa rabun yang tinggi kerana secara fizikalnya cermin mata mereka tidak kelihatan sangat tebal. Selain itu, cermin mata yang lebih ringan dan kanta yang nipis memberikan keselesaan kepada pemakai untuk memakainya sepanjang hari.
3. Perlindungan UV
Pendedahan yang lama terhadap sinaran ultraviolet (UV) dari matahari boleh menyebabkan kerosakan pada mata anda. Ini termasuk katarak iaitu selaput di dalam mata, Pterygium atau Pinguecula iaitu selaput di luar mata dan “sunburn” pada kornea. Kanta polikarbonat melindungi mata dengan menghalang sinar UV yang berbahaya dari matahari.
4. Tahan calar
Calar pada kanta akan mempengaruhi tahap kejelasan dan keseluruhan penampilan cermin mata. Kanta yang diperbuat daripada kaca dan plastik lebih mudah calar, tetapi kanta polikarbonat tahan calar kerana terdapat lapisan anti calar pada padanya.
4 kelebihan kanta polikarbonat
Setelah membaca mengenai 4 kelebihan kanta polikarbonat ini, apa pendapat anda? Rasanya, selepas ini kanta polikarbonat akan menjadi pilihan ramai kerana sifat dan ciri-ciri yang ada padanya membolehkan cermin mata kita bertahan lama dan selamat daripada kecederaan jika kanta pecah. Paling tidak, melambatkan kerosakan cermin mata dari berlaku bukan?