3 Jenis Senaman Mata Mudah yang Perlu Anda Lakukan Setiap Hari
Ketegangan Mata Digital, yang juga dikenali sebagai Sindrom Penglihatan Komputer merupakan keadaan ketidakselesaan mata yang biasa dialami dalam kalangan individu yang sering berhadapan dengan skrin peranti digital dalam tempoh masa yang panjang. Semakin lama seseorang itu menghabiskan masa di hadapan skrin, semakin tinggi tahap ketidakselesaan mata yang dirasakan.

Tahukah anda, menurut sebuah petikan jurnal tulisan Dr. Loh Keng Yin dari International Medical University menyatakan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Kebangsaan atau NIOSH menunjukkan pekerja di Malaysia yang menggunakan komputer di tempat kerja mengalami sakit belakang, sakit bahu, leher dan sakit di bahagian mata. Kesakitan yang dialami itu berpotensi merupakan simptom-simptom kepada Sindrom Penglihatan Komputer akibat pendedahan kepada skrin digital yang berlebihan.
Simptom-simptom biasa yang dikaitkan dengan keadaan ini adalah:
- Ketegangan atau ketidakselesaan mata
- Penglihatan kabur
- Penglihatan berganda
- Sakit kepala
- Sakit belakang, leher dan bahu
Jadi, adakah cara untuk kita mengelak, mengatasi atau paling kurang membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku? Adaaa… iaitu SENAMAN MATA! Aik, mata pun perlu bersenam ke?
Seperti mana kita melakukan senaman dan aktiviti fizikal yang bertujuan untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan, mata pun perlukan senaman untuk menguatkan otot-otot mata, sistem penumpuan mata serta merangsang pusat penglihatan yang berada di bahagian otak. Apabila otot mata sihat, mata dapat berfungsi dengan berkesan dan secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan.
#1 Senaman Fokus Mata
Senaman ini berfungsi untuk menguji tahap fokus mata.
- Posisikan jari telunjuk beberapa inci dari mata.
- Fokus pada jari.
- Perlahan-lahan alihkan jari dari muka dan tahan fokus.
- Pandang pada jarak jauh sebentar.
- Fokus semula pada jari telunjuk dan bawa jari ke arah mata perlahan-lahan.
- Pandang jauh dan fokus pada objek jarak jauh.
Ulang senaman ini sebanyak 3 kali.

#2 Senaman Fokus Jauh & Dekat
- Posisikan jari telunjuk 10 inci dari muka dan fokus pada jari selama 15 saat.
- Alihkan pandangan pada objek sejauh 10-20 kaki di hadapan selama 15 saat.
- Kembalikan fokus pada jari telunjuk semula.
Ulang senaman ini sebanyak 5 kali.

#3 Peraturan 20-20-20
Senaman mata ini adalah senaman yang paling mudah untuk dilakukan tetapi masih ramai yang gagal untuk menjadikan ia sebagai rutin ketika berhadapan dengan skrin. Kenapa? Yelah, bila dah menghadap skrin tu, waktu berlalu memang tak perasan dah. Peraturan 20-20-20 sangat disarankan kerana ia membantu mengelakkan atau mengurangkan ketegangan mata dan meringankan tekanan pada leher dan bahu.

Gaya hidup seseorang individu juga banyak mempengaruhi keberkesanan senaman mata yang dilakukan. Sekiranya anda tidak mengetahui cara penggunaan mata yang betul seperti penggunaan komputer yang lama dalam satu tempoh masa yang lama tanpa merehatkan mata, maka keberkesanan senaman mata juga akan berkurangan.
Walau sesibuk mana pun anda, ajarlah diri untuk disiplin dengan 3 jenis senaman mata mudah yang perlu anda lakukan setiap hari ini. Nampak remeh, tapi percayalah anda akan berterima kasih pada diri sendiri suatu hari nanti.